Syeikh Abdus Shamad Palembang Ulama Shufi Dan Jihad Dunia Melayu
Mengenali nama ayahnya
Terdapat banyak percanggahan berkenaan nama ayah kepada ulama ini. Pada penyelidikan awal, penulis menemui nama orang tua Syeikh Abdus Shamad Falimbani itu adalah Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani. Maka dalam penyelidikan selanjutnya, penulis jumpai pula nama ayahnya selain Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani dan Faqih Husein al-Falimbani itu. Nama-nama lain itu ialah: Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani. Maklumat ini pertama sekali penulis jumpai hanya pada Hidayatus Salikin terbitan Al-Ahmadiah Press, Singapura, tanpa menyebut tahun cetakan, berdasarkan satu naskhah yang dijumpai di Banjar.
Pada cetakan itu pentashhihnya juga disebutkan ialah Syeikh Ahmad bin Muhammad Zain al-Fathani sebagaimana cetakan-cetakan lainnya. Sedangkan Hidayatus Salikin terbitan lainnya tidak menyebut nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani itu. Hal ini bersamaan pula dengan manuskrip salin semula judul Zahratul Murid yang terdapat di Pusat Islam Malaysia. Manuskrip Zahratul Murid yang ada dalam simpanan penulis juga menyebut nama orang tuanya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani.
Tetapi dalam karya beliau judul yang sama, salinan Hj. Muhammad Husein bin Abdul Latif (Tok Kelaba al-Fathani) menyebut bahawa nama orang tua Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ialah Syeikh Abdullah al-Jawi al-Falimbani, tidak Abdur Rahman al-Falimbani al-Jawi dan tidak pula dua nama yang terdahulu (Faqih Husein al-Falimbani dan Syeikh Abdul Jalil al-Mahdani).
Manuskrip Zahratul Murid yang tersimpan di Muzium Nasional Jakarta, nampaknya serupa dengan salinan Tok Kelaba al-Fathani, iaitu orang tuanya bernama Abdullah al-Jawi al-Falimbani.
Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dinyatakan ialah Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, juga tersebut pada cover cetakan kitab itu oleh Matba’ah at-Taraqqil Majidiyah al-‘Itsmaniyah, Mekah, tahun 1331 H/1912 M, ditashhih oleh Syeikh Idris bin Husein al-Kalantani, iaitu murid kepercayaan Syeikh Ahmad al-Fathani. Dipercayai ada cetakan yang lebih awal dari cetakan ini yang diusahakan oleh Syeikh Ahmad al-Fathani yang dicetak oleh Matba’ah al-Miriyah al-Kainah, Mekah dalam tahun 1300 H/1882 M.
Juga nama ayahnya Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani tersebut pada mukadimah risalah Ilmu Tasauf, manuskrip koleksi Pusat Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia. Nama Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani juga disebut pada banyak halaman dalam karya Syeikh Muhammad Yasin bin ‘Isa al-Fadani (Padang) berjudul Al-‘Iqdul Farid min Jawahiril Asanid dan Balughul Amani.
Nama ayah Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani adalah Syeikh Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani, dari sumber Melayu sendiri selain sumber-sumber yang penulis sebutkan di atas. Juga disebut oleh salah seorang murid beliau bernama Haji Mahmud bin Muhammad Yusuf Terengganu, dalam salah sebuah salinan karya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani. Tokoh tersebut sangat banyak membuat salinan pelbagai judul manuskrip.
Berbeda
Susur galur keturunan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sampai saat ini baru dijumpai dua sumber yang agak lengkap walaupun antara kedua- duanya sangat berbeza. Kedua-dua sumber itu ialah: Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah, yang mengemukakan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Syeikh Abdul Jalil bin Syeikh 'Abdul Wahhab bin Syeikh Ahmad al-Mahdani.
Dalam Bulughul Maram karya Syeikh Muhammad Yasin Padang pula dijumpai bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani bin Abdur Rahman bin Abdullah bin Ahmad al-Falimbani. Namun pada beberapa halaman lain oleh pengarang dalam buku yang sama dinyatakan: Syeikh Abdus Shamad bin Abdur Rahman bin Abdul Jalil al-Falimbani. Penulis tidak dapat mengesan dengan pasti apa sebab persoalan ini boleh berlaku, nama ayahnya berbeda-beda dan nama-nama ayah ke ayah pula terjadi demikian seperti yang telah disalinkan di atas.
Nama yang digunakan di makam yang terletak di Tanjung Pauh, Jitra, Daerah Kubang Pasu, Kedah ialah Syeikh Abdul Jalil, bukan nama yang lainnya. Sungguh pun di makamnya memakai nama Syeikh Abdul Jalil, namun jika diperhatikan dengan perbandingan ternyata jumlah maklumat yang menyebut nama ayah beliau Abdur Rahman al-Jawi al-Falimbani lebih banyak dari nama-nama lain seperti yang disebutkan di atas.
Selama ini semua penulis hanya mengenal bahawa di hujung nama Syeikh Abdus Shamad biasa ditambah dengan perkataan ‘al-Falimbani’, iaitu yang dinisbahkan/dibangsakan bahawa beliau berasal dari Palembang. Akan tetapi dalam sebuah manuskrip al-‘Urwatul Wutsqa karya beliau, ternyata beliau menyebut di hujung namanya dengan ‘al-Fathani’.
Pada beberapa halaman al-‘Iqdul Farid, Syeikh Yasin Padang menyebut di hujung nama beliau dengan ‘al-Asyi asy-Syahir bil Falimbani’, yang maksudnya bahawa dinisbahkan/dibangsakan berasal dari Aceh yang masyhur berasal dari Palembang.
Pendidikan
Syeikh Abdus Shamad mendapat pendidikan asas dari ayahnya sendiri, Syeikh Abdul Jalil, di Kedah. Kemudian Syeikh Abdul Jalil mengantar semua anaknya ke pondok di negeri Patani. Zaman itu memang di Patani lah tempat menempa ilmu-ilmu keislaman sistem pondok secara yang lebih mendalam lagi.
Mungkin Abdus Shamad dan saudara-saudaranya Wan Abdullah dan Wan Abdul Qadir telah memasuki pondok-pondok yang terkenal, antaranya ialah Pondok Bendang Gucil di Kerisik, atau Pondok Kuala Bekah atau Pondok Semala yang semuanya terletak di Patani.
Di antara para gurunya di Patani, yang dapat diketahui dengan jelas hanyalah Syeikh Abdur Rahman bin Abdul Mubin Pauh Bok. Demikianlah yang diceritakan oleh beberapa orang tokoh terkemuka Kampung Pauh Bok itu (1989), serta sedikit catatan dalam salah satu manuskrip terjemahan Al-‘Urwatul Wutsqa, versi Syeikh Abdus Shamad bin Qunbul al-Fathani yang ada dalam simpanan penulis. Kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok itulah sehingga membolehkan pelajaran Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani dilanjutkan ke Mekah dan Madinah. Walau bagaimana pun mengenai Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar kepada Syeikh Abdur Rahman Pauh Bok al-Fathani itu belum pernah ditulis oleh siapa pun, namun sumber asli didengar di Kampung Pauh Bok sendiri.
Sistem pengajian pondok di Patani pada zaman itu sangat terikat dengan hafalan matan ilmu-ilmu Arabiyah yang terkenal dengan ‘llmu Alat Dua Belas’. Dalam bidang syariat Islam dimulai dengan matan-matan fiqh menurut Mazhab Imam Syafie. Di bidang tauhid dimulai dengan menghafal matan-matan ilmu kalam/usuluddin menurut faham Ahlus Sunah wal Jamaah yang bersumber dari Imam Syeikh Abul Hasan al-Asy’ari dan Syeikh Abu Mansur al-Maturidi.
Setelah Syeikh Abdus Shamad banyak hafal matan lalu dilanjutkan pula dengan penerapan pengertian yang lebih mendalam lagi. Sewaktu masih di Patani lagi, Syeikh Abdus Shamad telah dipandang alim, kerana beliau adalah sebagai kepala thalaah (tutor), menurut istilah pengajian pondok. Namun ayahnya berusaha mengantar anak-anaknya melanjutkan pelajarannya ke Mekah. Memang merupakan satu tradisi pada zaman itu walau bagaimana banyak ilmu pengetahuan seseorang belumlah di pandang memadai, jika tak sempat mengambil barakah di Mekah dan Madinah kepada para ulama yang dipandang Wali Allah di tempat pertama lahirnya agama Islam itu.
Keturunan
Mengenai pengajiannya di Mekah dan Madinah sumber yang paling pertama diketahui ialah tulisan Syeikh Abdur Rahman Shiddiq, keturunan Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, ditulisnya dalam Syajaratul Arsyadiyah. Menurut beliau, bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, belajar di Mekah sekitar 30 tahun dan di Madinah 5 tahun bersama kawan-kawannya. Mereka ialah Syeikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari penyusun kitab Sabilul Muhtadin yang terkenal, Syeikh Abdul Wahab Pang-kajene (Sidenreng Daeng Bunga Wardiah) Bugis, Syeikh Abdur Rahman al-Masri, Syeikh Muhammad Nafis al-Banjari, Syeikh Muhammad Ali Aceh, Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan ramai lagi.
Sahabat-sahabat Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani sewaktu melanjutkan pelajaran di Mekah selain yang tersebut itu sangat ramai, di antara nama mereka telah penulis sebut dalam buku Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari Pengarang Sabilal Muhtadin. Mengenai para gurunya di Mekah, selain yang diketahui umum, dalam sebuah manuskrip disebutkan bahawa Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari dan Syeikh Daud bin Abdullah al-Fathani pernah belajar daripada Syeikh Muhammad Zain bin Faqih Jalaluddin Aceh di Mekah. Para ulama besar yang pernah mendidik Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani selama berada di Mekah dan Madinah selain yang tersebut dapat dirujuk kepada buku penulis Syeikh Muhammad Arsyad al-Banjari ... tersebut di atas, lihat hlm. 14-15, sanad-sanadnya dari hlm. 16 sampai 27. Namun masih ada beberapa guru Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani yang berasal dari Palembang dan sanad beberapa ilmu yang tidak tersebut dalam buku penulis itu. Hal ini kerana ada beberapa ilmu yang mereka tidak belajar secara bersama-sama.
Menurut Syeikh Yasin Padang dalam beberapa bukunya yang telah disebutkan, bahawa hampir semua ilmu nampaknya Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani menerima dari al-Mu’ammar Aqib bin Hasanuddin bin Ja’far al-Falimbani. Ulama yang berasal dari Palembang ini tinggal di Madinah. Beliau berguru dengan ramai ulama, namun di antara gurunya termasuklah ayah saudaranya bernama Thaiyib bin Ja'far al-Falimbani. Thaiyib bin Ja’far belajar dengan ayahnya Muhammad bin Badruddin al-Falimbani.
Tulisan Syeikh Yasin Padang yang mengatakan Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani belajar dengan Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani itu bertentangan dengan tulisan Syeikh Muhammad Azhari ibnu Abdullah al-Jawi al-Falimbani. Kenyataan ulama ini ialah, “... telah mengambil talqin zikir ini oleh faqir Muhammad Azhari ibnu Abdillah al-Falimbani. [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Abdullah bin Ma’ruf al-Falimbani, [Ia] mengambil daripada asy-Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani, [Ia] mengambil daripda asy-Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani ...”.
Jika kita berpegang kepada Syeikh Yasin Padang bererti Syeikh Abdus Shamad adalah murid Syeikh Muhammad Aqib. Sebaliknya jika kita berpegang kepada Syeikh Muhammad Azhari bin Abdullah bin Muhammad Asyiquddin bin Safiyuddin Abdullah al-Alawi al-Husaini al-Falimbani, bererti Syeikh Abdus Shamad adalah guru kepada Syeikh Muhammad Aqib bin Hasanuddin al-Falimbani.
LEMBARAN akhir kitab Siyarus Salikin dinyatakan diselesaikan di Taif pada tahun 1203 Hijrah.
SHEIKH Abdus Shamad al-Falimbani adalah seorang ulama sufi yang agung di Nusantara, beliau sangat anti terhadap penjajah dan ia telah menunjukkan kesanggupan luar biasa untuk berjuang demi ketinggian Islam semata-mata.
Prof. Dr. Hamka menyebut dalam salah satu karangannya, bahawa setelah belajar di Mekah, Sheikh Abdus Shamad Palembang tidak pernah kembali ke tanah airnya Palembang, lantaran bencinya terhadap penjajah Belanda.
Sebagaimana disebutkan bahawa yang sebenarnya menurut khabar yang mutawatir, dan bukti-bukti bertulis bahawa Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang buat kali pertamanya ke Nusantara bersama-sama sahahat-sahabatnya iaitu Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari, Sheikh Abdul Wahab Sadenreng Daeng Bunga Bugis, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani, dan Sheikh Abdur Rahman al-Masri.
Diceritakan oleh Sheikh Abdur Rahman Shiddiq al-Banjari dalam Syajaratul Arsyadiyah, bahawa gurunya menasihati mereka jika ke Mesir untuk mendalami ilmu pengetahuan, hal itu akan mengecewakan kerana Sheikh Abdus Shamad dan Sheikh Muhammad Arsyad Banjar itu bukan layak menjadi mahasiswa, akan tetapi layak menjadi mahaguru.
Di Mesir adalah sukar mencari ulama yang lebih tinggi pengetahuannya daripada ulama-ulama yang berasal Jawi itu. Tetapi gurunya tidak melarang maksud suci itu, namun gurunya itu menegaskan jika ke Mesir hanya ingin bertemasya melihat keindahan dan peninggalan-peninggalan kuno khas Mesir, hal itu adalah merupakan suatu ilmu pengetahuan perbandingan pula.
Sheikh Abdus Shamad dan kawan-kawan dikatakan sempat ke Mesir tetapi bukan belajar di sana melainkan ingin mengunjungi lembaga-lembaga pendidikan di Mesir ketika itu. Mereka bukan saja ke Kaherah tetapi termasuk beberapa kota kecil, bahkan sampai ke pedalaman dan di hulunya. Banyak madrasah dan sistem pendidikannya menjadi perhatian mereka bahawa mereka bercita-cita menerapkan kaedah Mesir yang agak berbeza dengan kaedah pendidikan di Pattani.
Sekembali dari Mesir, mereka tidak tinggal lama di Mekah mahupun Madinah. Setelah diizinkan oleh Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman, maka mereka berangkat menuju ke Jeddah. Dari Jeddah mereka menumpang sebuah perahu layar, pulang ke tanah air. Berbulan-bulan di laut sampailah mereka di Pulau Pinang. Mereka kemudian menziarahi Kedah dan Perak, kemudian melalui jalan darat terus ke Singapura.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani walaupun telah dekat dengan negerinya Pattani namun beliau tidak pulang tetapi disebabkan semangat setiakawannya, beliau mengikuti teman-temannya ke Singapura.
Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani hanya sampai di Singapura saja, tetapi dalam riwayat lain ada yang mengatakan beliau menghantar sampai ke Betawi. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan Sheikh Muhammad Arsyad meneruskan pelayaran ke Betawi (Jakarta).
Setelah di Betawi, pada satu hari Jumaat, mereka sembahyang di Masjid Kampung Sawah Jambatan Lima, Betawi. Walaupun masjid itu telah lama didirikan, menurut Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, dan Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari bahawa adalah arah ke kiblat masjid itu tidak tepat sebagaimana semestinya.
Orang yang hadir dalam masjid itu sangat hairan melihat mereka melakukan solat tahiyatul masjid jauh miring dari seperti apa yang dikerjakan oleh orang lain. Lalu ada yang bertanya dan dijawab oleh mereka bahawa arah kiblat menurut biasa itu adalah tidak tepat, dan yang betulnya seperti yang mereka lakukan dan. Maka, berlaku sedikit salah faham antara mereka dan hadirin tersebut.
Dengan tangkas Sheikh Muhammad Arsyad bin Abdullah al-Banjari maju kemuka. Ia berdiri di depan sekali, diangkatkannya tangannya ke arah hadirin majlis Jumaat hari itu, sangat aneh dan ajaib sekali tiba-tiba saja yang hadir itu langsung dapat melihat Kaabatullah ke arah lurus tangan Sheikh Muhammad Arsyad itu. Suasana tenang kembali, tiada siapa berani membantah.
Khalayak ramai maklum bahawa orang-orang yang melakukan solat tahiyatul masjid yang berbeza dengan mereka itu adalah para wali Allah yang ditugaskan Wali Quthub Sheikh Muhammad bin Abdul Karim as-Samman yang terkenal itu. Kononnya, mulai hari Jumaat itu arah kiblat diubah atau diperbetulkan dengan dibuat garis merah sebagai tandanya.
Peristiwa itu akhirnya diketahui penguasa Belanda, selaku kuasa penjajah pada zaman itu. Belanda menangkap Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari, dan Sheikh Abdul Wahab Bugis dan mereka dituduh sebagai pengacau keamanan. Mereka dibawa ke atas sebuah kapal yang sedang berlabuh di Betawi, di atas kapal itulah mereka disoal, dihujani dengan pelbagai pertanyaan yang sukar dijawab. Akan tetapi pihak Belanda sangat mengagumi pengetahuan mereka sehingga setelah tiga hari tiga malam, barulah mereka dibebaskan begitu saja.
Setelah peristiwa itu barulah mereka kembali ke tempat kelahiran masing-masing. Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani pulang ke Palembang, Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari pulang ke Banjar, kemudian Sheikh Abdul Wahab Bugis juga ke Banjar mengikut Sheikh Muhammad Arsyad al-Banjari.
Ramai meriwayatkan cerita yang menarik ketika Sheikh Abdus Shamad berada di negerinya Palembang. Oleh kerana rasa bencinya kepada Belanda, ditambah pula dengan peristiwa di atas kapal itu, beliau bertambah kecewa kerana melihat pihak Belanda yang kafir telah memegang pemerintahan di lingkungan Islam dan tiada kuasa sedikit pun bagi Sultan.
Maka beliau rasa tidak betah untuk diam di Palembang walaupun beliau kelahiran negeri itu. Sheikh Abdus Shamad mengambil keputusan sendiri tanpa musyawarah dengan siapa pun, semata-mata memohon petunjuk Allah dengan melakukan solat istikharah. Keputusannya, beliau mesti meninggalkan Palembang, mesti kembali ke Mekah semula.
Lantaran terlalu anti Belanda, beliau tidak mahu menaiki kapal Belanda sehingga terpaksa menebang kayu di hutan untuk membuat perahu bersama-sama orang-orang yang patuh sebagai muridnya. Walaupun sebenarnya beliau bukanlah seorang tukang yang pandai membuat perahu, namun beliau sanggup mereka bentuk perahu itu sendiri untuk membawanya ke Mekah. Tentunya ada beberapa orang muridnya mempunyai pengetahuan membuat perahu seperti itu.
Ini membuktikan Sheikh Abdus Shamadal-Falimbani telah menunjukkan keteguhan pegangan, tawakal adalah merupakan catatan sejarah yang tidak dapat dilupakan.
Pulang ke nusantara buat kali kedua
Setelah perahu siap dan kelengkapan pelayaran cukup, maka berangkatlah Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dari Palembang menuju Mekah dengan beberapa orang muridnya. Selama di Mekah, beliau bergiat dalam pengajaran dan penulisan kitab-kitab dalam beberapa bidang pengetahuan keislaman, terutamanya tentang tasauf, fikah, usuluddin dan lain-lain.
Untuk menunjukkan sikap antinya kepada penjajah, dikarangnya sebuah buku tentang jihad. Buku yang penting itu berjudul Nasihatul Muslimin wa Tazkiratul Mu’minin fi Fadhail Jihadi fi Sabilillah wa Karamatul Mujtahidin fi Sabilillah.
Kegiatan-kegiatannya di bidang penulisan akan dibicarakan pada bahagian lain.
Di sini terlebih dahulu diceritakan kepulangan beliau ke nusantara untuk kali kedua. Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani kali ini tidak ke Palembang tetapi ke Kedah. Saudara kandungnya Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani ketika itu ialah Mufti Kerajaan Kedah. Seorang lagi saudaranya, Sheikh Wan Abdullah adalah pembesar Kedah dengan gelar Seri Maharaja Putera Dewa.
Meskipun Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani lama menetap di Mekah, namun hubungan antara mereka tidak pernah terputus. Sekurang-kurangnya mereka berutus surat setahun sekal, iaitu melalui mereka yang pulang selepas melaksanakan ibadah haji.
Selain hubungan beliau dengan adik-beradik di Kedah, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani turut membina hubungan dengan kaum Muslimin di seluruh Asia Tenggara. Pada zaman itu hampir semua orang yang berhasrat mendalami ilmu tasauf terutama di sektor Tarekat Sammaniyah, Tarekat Anfasiyah dan Tarekat Khalwatiyah menerima ilmu daripada beliau.
Beliau sentiasa mengikuti perkembangan di Tanah Jawi (dunia Melayu) dengan menanyakan kepada pendatang-pendatang dari Pattani, Semenanjung Tanah Melayu, dan negeri-negeri Nusantara yang di bawah penjajahan Belanda (pada zaman itu masih disebut Hindia Belanda).
Ini terbukti dengan pengiriman dua pucuk surat kepada Sultan Hamengkubuwono I, Sultan Mataram dan kepada Susuhunan Prabu Jaka atau Pangeran Singasari Putera Amengkurat IV. Surat-surat tersebut jatuh ke tangan Belanda di Semarang (tahun 1772 M).
Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani telah lama bercita-cita untuk ikut serta dalam salah satu peperangan/pemberontakan melawan penjajah. Namun setelah dipertimbangkan, beliau lebih tertarik membantu umat Islam di Pattani dan Kedah melawan keganasan Siam yang beragama Buddha.
Sebelum perang itu terjadi, Sheikh Wan Abdul Qadir bin Sheikh Abdul Jalil al-Mahdani, Mufti Kedah mengirim sepucuk surat kepada Sheikh Abdus Shamad di Mekah. Surat itu membawa maksud agar diumumkan kepada kaum Muslimin yang berada di Mekah bahawa umat Islam Melayu Pattani dan Kedah sedang menghadapi jihad mempertahankan agama Islam dan watan (tanah air) mereka.
Dalam peperangan itu, Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani memegang peranan penting dengan beberapa panglima Melayu lainnya. Ada catatan menarik mengatakan beliau bukan berfungsi sebagai panglima sebenarnya tetapi beliau bertindak sebagai seorang ulama sufi yang sentiasa berwirid, bertasbih, bertahmid, bertakbir dan berselawat setiap siang dan malam.
Banyak orang menuduh bahawa orang sufi adalah orang-orang jumud yang tidak menghiraukan dunia. Tetapi jika kita kaji beberapa biografi ulama sufi, termasuk Sheikh Abdus Shamad yang diriwayat ini adalah orang-orang yang bertanggungjawab mempertahankan agama Islam dan tanah air dari hal-hal yang dapat merosakkan Islam itu.
Golongan ini adalah orang yang berani mati dalam menegakkan jihad fi sabililah. Mereka tidak terikat dengan sanak keluarga, material duniawi, pangkat dan kedudukan dan sebagainya, mereka semata-mata mencintai Allah dan Rasul dari segala apa pun juga.
Kepulangan Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani ke Kedah memang pada awalnya bertekad demi jihad, bukan kerana mengajar masyarakat mengenai hukum-hukum keislaman walaupun beliau pernah mengajar di Mekah. Dipendekkan kisah akhirnya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani dan rombongan pun berangkat menuju ke Pattani yang bergelar ‘Cermin Mekah’.
Sayangnya kedatangan beliau agak terlambat, pasukan Pattani telah hampir lemah dengan keganasan Siam.
Sementara itu, Sheikh Daud bin Abdullah al-Fathani dan pengikut-pengikutnya telah mengundurkan diri ke Pulau Duyung, Terengganu untuk menyusun semula langkah perjuangan.
Pattani telah patah dan kekuatan lenyap dengan itu Sheikh Abdus Shamad pun berkhalwat di salah sebuah masjid di Legor. Ada orang mengatakan beliau berkhalwat di Masjid Kerisik yang terkenal dengan ‘Pintu Gerbang Hang Tuah’ itu.
Para pengikut tasauf percaya di sanalah beliau menghilang diri tetapi bagi kalangan bukan tasauf, perkara ini adalah mustahil dan mereka lebih percaya bahawa beliau telah mati dibunuh oleh musuh-musuh Islam.
Mengenai tahun peperangan yang terjadi antara Kedah dengan Siam, dalam Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah menyebut bahawa kejadian tersebut berlaku pada 1244 H bersamaan dengan 1828 M. Sungguhpun demikian, seorang ahli sejarah Kedah, Hj. Wan Shamsuddin, berpendapat bahawa kemuncak peperangan terjadi ialah pada 1254 H/1838 M, iaitu 10 tahun kemudian dari yang disebut oleh Al-Tarikh Salasilah Negeri Kedah itu. Oleh itu, yang mana yang lebih tepat antara 1244 H/1828 M atau 1254 H/1838 M, perlu kepada penyelidikan lanjut.
Kesimpulannya, kembalinya Sheikh Abdus Shamad al-Falimbani untuk kali yang kedua itu adalah juga merupakan tahun kepulangannya beliau ke rahmatullah sebagai seorang ‘syuhada’.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar